Thursday, November 12, 2009

Ajaran Sesat

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kehadrat Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa, semoga kita sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan dariNya agar umat Islam dapat terus membangun dan membina tamadun yang cemerlang, pada masa kini dan masa-masa yang akan datang agar beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kekuatan ummah dan menyebar luaskan ajaran Islam, masih terdapat golongan masyarakat yang cuba menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran syariat Islam dengan membawa dan memperkenalkan kepada masyarakat, ajaran-ajaran yang menyeleweng dari aqidah Islam. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan pengikut-pengikut ajaran terbabit. Walaupun beberapa usaha telah dilaksanakan, pengaruh ajaran sesat ini masih terus bertapak dan ianya telah menggugat aqidah segolongan kecil umat Islam di Negara ini.

Berdasarkan kajian oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa ajaran sesat yang terkumpul sehingga tahun 1997 ialah 60 ajaran, yang meliputi berbagai-bagai bentuk iaitu amalan “Al-Tasauf”. Penggabungan dengan aktiviti persilatan dan penggabungan dengan amalan perbomohan serta amalan khurafat yang lain. Jumlah ajaran sesat yang dapat di kesan sehingga 1999 ialah sebanyak 98 ajaran.


Sidang Jumaat yang dirahmati,

Ajaran-ajaran sesat yang bergerak cergas di negeri-negeri seluruh Malaysia sebelum tahun 1980 an, bukan sahaja telah mengalami pengurangan, bahkan kebanyakkannya telah dapat dibanteras oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri. Antaranya hingga ke peringkat tindakan undang-undang yang melibatkan hukuman denda atau penjara. Di samping itu terdapat juga tindakan yang dilakukan melalui pewartaan fatwa, proses pemulihan aqidah dan program-program penjelasan aqidah yang dijalankan.

Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia telah bergerak secara serampang dua mata, iaitu bercampur aduk antara amalan Tasawuf tawasufi atau wujudiah, batiniah dan kebatinan jiwa. Di samping ianya juga melibatkan amalan-amalan perbomohan yang menggunakan “helah agama” untuk kepentingan diri pengamalnya. Hal ini pada hakikatnya adalah semata-mata suatu amalan yang berpunca dari ajaran batiniah yang sememangnya kufur dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam yang Maha Suci. Selain dari ajaran-ajaran sesat, terdapat juga kecenderungan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah mereka terhadap penganut agama Islam untuk mendekati ajaran agama lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Beberapa faktor telah dapat dikenalpasti oleh JAKIM sebagai punca berlakunya penyelewengan aqidah. Antara sebab yang paling utama ialah kerana tersebarnya secara meluas buku yang berunsur ajaran sesat di pasaran atau melalui koleksi khas para “guru” ajaran-ajaran sesat berkenaan. Sejak akhir-akhir ini pula ramai di kalangan individu yang cuba menonjolkan diri sebagai yang arif dalam ilmu-ilmu perubatan dan agama yang semata-mata bertujuan kerana kepentingan diri dengan gelaran-gelaran tertentu. Selain daripada itu, kelambatan tindakan pihak berkuasa daripada pelbagai agensi menanggani hal ini juga telah menyebabkan fenomena ini terus berkembang. Kelemahan juga berlaku dari aspek undag-undang, di mana hukuman yang diperuntukkan terhadap mereka yang di dakwa terlibat dengan ajaran sesat juga adalah terlalu ringan berbanding dengan kemudaratannya kepada orang Islam. Faktor-faktor ini telah menjadikan cabaran kepada puhak-pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha membanteras gejala sesat ini.

Meskipun implikasi daripada penglibatan diri dengan ajaran sesat adalah besar dari segi aqidah, namun ramai di kalangan umat Islam yang tetap melibatkan diri dengan gejala ini. Ini kerana golongan pengamal ajaran sesat kerap menggunakan beberapa taktik sebagai “umpan” untuk mendapatkan pengaruh di kalangan masyarakat. Antaranya ialah janji-janji dari jaminan yang boleh merangsang seseorang itu percaya dan terpengaruh. Antaranya ialah jaminan sesuatu ajaran tersebut boleh mendatangkan manfaat dunaiwi dan ukhrawi. Manfaat kesenangan akhirat di kaitkan dengan balasan syurga. Manakala manfaat duniawi di kaitkan dengan kesenangan harta, pangkat dan keseronokan seperti kegiatan seks semata-mata atas dasar pengorbanan, keikhlasan dan sebagainya. Sikap guru-guru ajaran sesat yang mengasah pemikiran untuk fanatik dan mengagungkan ketua mereka juga telah menyebabkan mereka yang terperangkap dengan gejala ini sukar untuk meninggalkan sesuatu ajaran kerana takut dianggap derhaka kepada ketuanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Berdasarkan kepada analisa terhadap kajian-kajian yang dibuat menunjukkan, bahawa antara sumber-sumber utama berlakunya penyelewengan aqidah di Malaysia ialah dalam beberapa bentuk iaitu Tasawuf tawasufi atau falsafah, batiniah, syiah rafiziah, khurafat, amalan bomoh dan tradisi serta kebebasan akal tanpa batas (mengutamakan penggunaan akal). Ajaran-ajaran sesat yang tumbuh dan berkembang di Malaysia adalah berkisar di sekitar bentuk ini, tetapi atas nama yang berbeza-beza.

Kebanyakan mangsa ajaran sesat adalah di dapati daripada mereka yang mempunyai cirri-ciri seperti jahil, pengaruh kawan, ghairah dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami asas aqidah dan di sebabkan oleh faktor kekayaan serta pengaruh.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, pihak berkuasa agama Islam negeri dan JAKIM telah bekerjasama erat melalui berbagai-bagai program yang bertujuan bagi mengembalikan mereka kepada aqidah yang sebenar. Antara usaha yang dilakukan ialah dengan menyediakan pengajaran dan pendidikan Islam secara berterusan di institusi-institusi pelajaran formal dan tidak formal. Selain itu, usaha juga dilakukan dengan mentahkik kitab-kitab lama yang dikenalpasti mempunyai unsur-unsur penyelewengan atau yang di jadikan sumber kepada penyelewengan aqidah.

Bagi memastikan penerangan dan maklumat tentang penyelewengan aqidah terus kepada masyarakat, pihak JAIS dan Jabatan Mufti telah mengadakan berbagai-bagai usahasama dengan mengadakan ceramah-ceramah, menerbitkan buku dan risalah yang berkaitan dengan aqidah dan penerangan melalui media elektronik.

Pelaksanaan undang-undang secara bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan yang lain terus dilakukan, terutama yang melibatkan penguatkuasaan dan pendakwaan di Mahkamah Syariah. Selain itu, pusat pemulihan aqidah di Jelebu, Negeri Sembilan dan Hulu Yam, Selangor akan terus diberi tanggungjawab bagi memulihkan aqidah penganut-penganut ajaran sesat yang telah di putuskan oleh Mahkamah.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Kerajaan negeri telah bertindak tegas kepada kumpulan Rufaqa’ yang cuba untuk menghidupkan semula ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan pada tahun 1994. Ternyata ketua kumpulan ini berjaya mendidik muridnya fanatik dan mengagungkannya. Antara kesesatannya ialah mendakwa beliau boleh meramal sesuatu, mengampunkan dosa, membantu secara ghaib, menangguhkan kematian dan berkomunikasi dengan Rasulullah S.A.W.

Dalam buku “Abuya Ashaari Muhammad pemimpin paling ajaib di zamannya” dengan jelas ternyata kesesatan Ashaari Muhammad apabila mendakwa bahawa Sheikh Suhaimi yang mempunyai segala cirri-ciri Imam Mahadi itu ghaib, seperti ghaibnya Nabi Isa A.S. Ashaari berkata :

“mulanya saya memang mencari pemimpin itu yang cirinya menepati kehendak Allah dan Rasul. Namun tidak saya temui. Saya berfikir untuk cuba menjadi pemimpin itu. Berdasarkan apa yang telah dan sedang berlaku kepada saya dan jemaah saya, maka saya yakin inilah dia jemaah itu, (iaitu tiga cirri Mujadid ialah datang di awal kurun, zahirkan cara hidup Islam dalam realiti dan tidak dapat dirosakkan oleh penentang-penentangnya. Ashaari juga mendakwa sebagai Mujadid akhir zaman. Gelarannya Putera bani tamim.

Beliau juga meramalkan Imam Mahadi akan zahir tidak lama lagi iaitu selepas terjadinya daulat Islamiah di Malaysia iaitu sekitar 3 hingga 4 tahun lagi dari sekarang. Disebut juga bahawa dari Mekah dia akan ke Malaysia untuk menerima serahan kuasa daripada Putera Bani Tamim. Ini berlaku setelah enam bulan kezahirannya di minbar Masjid Al-haram.

Penulisan Khadijah , benar-benar menjelaskan sifat taksub yang keterlaluan kepada pemimpinnya. Antaranya mendakwa Imam Mahadi melantik pemimpin Al-Arqam mahupun Rufaqa’ iaitu Abuya yang merupakan wazir kanan Imam Mahadi, pembantu dalam perjuangan Imam Mahadi, Ditangannya berlakulah pembangunan yang diidamkan. Pembangunan akhirat dan pembangunan

dunia. Menurutnya lagi, pemimpin yang dilantik tuhan untuk zamannya ialah Abuya. Beliau datang di awal kurun. Umat Islam patut mencari, mendatangi, berbai’ah dan taat kepadanya.

Taksub penulis sangat ketara dengan katanya :

“Allah rezekikan “power” kepada Abuya. Dengan power itu Abuya panggil duit, duit datang, Abuya panggil ilmu, ilmu datang. Apa lagi keperluan Abuya, semuanya Allah rezekikan dengan sebab adanya power yang Allah bekalkan itu. Umat Islam semuanya patut sangat mempelajari kekuatan ghaib yang Allah janjikan untuk mereka ini. Menurutnya lagi, power Abuya ialah kekuatan bantuan Allah kepada seseorang yang melakukan kerja-kerja perjuangan Islam dengan syarat seseorang itu berdoa dengan bertawassul kepada Abuya.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Sikap taksub ini berpunca daripada kurangnya ilmu pengikut itu sendiri, kemahiran guru meyakinkan muridnya tentang ajarannya bermanfaat di dunia dan di akhirat. Kemahiran guru supaya muridnya fanatic dan mengagungkan ketua dan murid terperangkap kerana takut dianggap derhaka kepada ketua.

Dalam menolak sikap taksub ini, Islam menganjurkan supaya mengamalkan keadilan dan kesederhanaan serta melihat maslahat. Islam juga menganjurkan supaya umatnya sanggup terbuka dengan pandangan orang lain dan mengambil pendekatan yang lebih kuat dalil dan Al-nasNya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)!, janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan perkataan yang benar”.

Sidang Jumaat yang dirahmati,

Walaupun usaha-usaha mendedah dan menyekat ajaran ini dijalankan secara tegas dan bersepadu, namun pada umunya ajaran ini terus ada pengikut dan penyokongnya. Umat Islam di harapkan bersama-sama dengan pihak berkuasa berganding bahu untuk membanteras apa jua bentuk ajaran sesat atau kumpulan yang menyelewengkan aqidah umat Islam.

Tanpa kerjasama, bantuan dan kesedaran daripada masyarakat, usaha untuk mengatasi gejala ini daripada terus berleluasa tidak akan berjaya. Pengetahuan ilmu agama yang mantap dan jati diri yang teguh dapat mengelakkan individu daipada terjebak dan terpengaruh dengan ajaran sesat ini.




No comments:

Post a Comment