Sunday, November 8, 2009

Zikrul Maut

Sidang jumaat Rahimakumullah ,

Marilah kita sama-sama mematuhi perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan dengan sebab itu Allah memberi petunjuk disepanjang perjalanan hidup kita didunia ini, serta berbahagia diakhirat nanti.




Kita semua adalah dari jenis makhluk manusia yang telah dicipta dengan sebaik-baik kejadian, manusia teristimewa dari makhluk yang lain jika dilihat dari semua sudut, bentuk tubuh badan yang cantik, kepala disebelah atas kaki dibawah, anggota badannya dibaluti dengan kain berwarna-warni bertukar ganti, tempat tinggal yang berbagai-bagai jenis diantaranya dinamakan pondok, rumah, banglo, mahligai, istana, kondominium dan lain-lain lagi, begitu juga kenderaan, makanan, pakaian yang silih berganti, manusia tidak puas-puas dan tidak merasa mencukupi dengan apa yang ada, ia terus mencari dan mencari sehingga anggota badannya dibaluti dengan kain putih. Firman Allah s.w.t :

"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur"(Al-Takathur:1-2)
Sidang jumaat Rahimakumullah,


Saya ingin mengajak para muslimin Rahimakumullah sekalian merenung dan memikirkan tentang diri kita ini, kerana selalunya kebanyakkan manusia tidak mahu mengambil iktibar dan perbandingan serta pengajaran dari peristiwa yang berlaku di sekeliling kita . Ada orang yang ditugaskan mengambil lubang kubur untuk mengkebumikan mayat jiran atau saudara mara, tetapi setelah selesai tugas itu mereka pula melakukan maksiat dan tidak memikirkan yang mereka juga nanti akan dikebumikan orang seperti yang mereka telah lakukan dahulu itu.

Kita lihat binatang lembu dikorbankan orang, dagingnya diagihkan antara para jemaah, nyawanya kembali kepada Allah s.w.t dengan penuh redha dan ditempat di dalam alam dengan penuh nikmat dan keredhaan Allah s.w.t, sedangkan bagaimana nanti kalau jasad kita dimasukkan di dalam tanah, dagingnya dimakan oleh ulat dan cacing, rohnya kembali kepada Allah s.w.t didalam kemurkaan yang berpanjangan tiada penghujungnya. Inilah diantara gambaran-gambaran yang perlu direnung dan fikirkan bersama supaya kita tidak menyesal yang tidak berguna dan tidak boleh diperbaiki lagi.

Sidang jumaat Rahimakumullah,

Banyak ayat-ayat Al-quran yang menceritakan tentang penyesalan manusia diakhirat nanti, diantaranya

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau lihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya dihadapan tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina) sambil merayu: "Wahai tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu) maka kembalikanlah kami kedunia supaya kami mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin"(As-Sajadah:12)

FirmanNYA lagi

"Maka mereka berkata, kalaulah kami dahulu mendengar dan memikirkan (sebagai orang yang mencari kebenaran) tentulah kami tidak termasuk dalam golongan ahli neraka sair."(Al-Mulk:10)

FirmannNYA lagi

"Sesungguhnya kami memberi amaran kepada kamu iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya maka orang kafir itu berkata alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah sahaja (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan."(An-Naba':40)

Sidang jumaat Rahikumullah,

Begitulah Allah memperjelaskan didalam Al-Quranulkarim yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian Nabi panjangkan pula peringatan itu kepada umatnya dimana sahaja mereka berada, samada ditengah-tengah bandaraya atau ditengah-tengah hutan belantara, samada kita kaya raya atau miskin, semua manusia tidak terkecuali walau apa-apa yang dilakukannya samada yang baik atau pun jahat.

Sidang jumaat Rahikumullah,

Disini diturunkan diantara sebab mengapa manusia terpedaya dan terpesona tentang keindahan dan keseronokan hidup didunia sehingga ia lupa dan dilalaikan oleh dunia yang sepatutnya manusia membuat persiapan dan persediaan untuk dibawa pulang menemui Allah di akhirat.
Didalam buku bertajuk: "Hidup sesudah mati " karangan Bey Arifin mengatakan:

"Satu ketika dipermulaan wujudnya dunia ini Allah telah berdialog dengan roh, iaitu roh yang bakal dimasukkan kedalam jasad manusia, dialog ini disampaikan kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul untuk disampaikan kepada umat manusia. Wahai roh!, aku hendak menjadikan dunia, dimana dunia itu satu tempat tinggal sementara waktu untuk manusia mencari bekalan dibawa pulang keakhirat, tetapi ingat, kamu jangan terpedaya dengan keindahan dan kecantikan yang mempesonakan, maka terpedayalah 900 daripada 1000 roh, maka Allah berkata lagi aku hendak menjadikan syurga, siapa yang beribadat yang mengharapkan syurga, maka tertariklah 9 roh, maka tinggal satu roh nisbah 1000, maka berkata Allah kepada roh yang tinggal satu, kamu hendak apa?, semua kawan-kawan kamu telah terpedaya dengan dunia, neraka dan syurga maka berkata roh yang satu, aku ini hambaMU, aku dijadikan semata-mata untuk mengabadi diri kepadamu sahaja, ku serahkan sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, semata-mata bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Marilah sama-sama kita renung doa Iftitah kita dalam solat:

[Bahawasanya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah Tuhan sekalian alam, tiada sekutu baginya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku adalah orang islam].

Muasyirul Muslimin,

Dan kita ulangkan munajat kita kepada Allah s.w.t :
[Tuhanku, aku tidak mampu untuk memasuki syurgamu dan aku tiada kekuatan untuk mengelakkan diri dari api nerakamu. Berilah aku kekuatan untuk bertaubat dan ampunkan dosaku, sesungguhnya engkau yang maha pengampun dosa besar].

Oleh itu marilah kita sama-sama melaksanakan amanah Allah s.w.t semasa berada didunia ini, elakkanlah daripada menerima penyesalan yang berpanjangan yang tidak ada penghujungnya.

"Sesungguhnya kami (Allah) telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran membawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan engkau tidak diminta bertanggungjawab tentang ahli-ahli neraka."
(Al-Baqarah :119)

No comments:

Post a Comment