Sidang Jumaat sekalian,
Mari kita sama-sama renung firman Allah ini:
" Maka adakah patut kamu menyangka, bahawa kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?. Dan kamu (menyangka pula) tidak akan di kembalikan kepada Kami?. Maka (dengan yang demikian), Maha tinggilah Allah yang menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar, tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia".(Al-Mu'minun ayat 115-116)
'Muhasabah' bermaksud : Perbuatan menilai diri sendiri. Perbuatan ini amat dituntut dan digalakkan supaya di lakukan oleh setiap individu atau kumpulan atau pertubuhan dan malahan termasuk juga pemimpin. Melalui muhasabah kita dapat membuat sesuatu tindakan yang lebih baik bagi menghadapi masa hadapan. Saidina Umar r.a. pernah berpesan : " Hisablah sebelum kamu dihisabkan". Tujuan utama perbuatan muhasabah ialah bagi mengetahui kekuatan, ancaman, peluang dan yang lebih penting ialah mengenal pasti kelemahan yang wujud, pada masa yang sama mengambil tindakan untuk memperbaikinya. Dalam maksud yang lebih luas kita diajak menoleh ke belakang untuk melihat, adakah setiap perkara yang di lakukan telah mengikut panduan yang di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan mengikuti segala amalan yang telah di laksanakan oleh Rasulullah s.a.w.?.
Persoalannya ialah apakah yang kita akan 'muhasabahkan'?. Mimbar pada hari ini, yang secara kebetulan nya akan meninggalkan tahun 1429 Hijrah, mengajak para jemaah supaya menyemak kembali satu persoalan yang sangat asas, iaitu mengenai apakah ertinya kita menganut agama Islam? Ketika menjawab persoalan ini, ia akan merentasi soal aqidah, ibadat, akhlak, keluarga, perjuangan, perpaduan, wawasan, perancangan, strategi serta beberapa perkara lain. Muhasabah menjadi penting kerana ia akan menyentuh kepentingan daya tahan umat Islam, bukan seperti yang berlaku sekarang ini, di mana Islam dan umatnya sering dicemuh, diperbodoh, di beri gelaran yang menghinakan, malahan dipermainkan kesuciannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, atau oleh pihak yang sengaja ingin menunjukkan kekuatan, keangkuhan dan kesombongan mereka.
Muhasabah mengajak kita menggunakan masa dan peluang yang ada bagi menilai kembali peranan, tugas dan tanggungjawab mengikut apa yang telah di tetapkan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Apakah kita telah menjadi pembela Islam atau turut sama manghina dan mencela seperti orang kafir melakukannya?. Mungkinkah kita turut menjadi ragu dan keliru terhadap Islam seperti orang-orang kafir, yang memang berusaha sepanjang masa untuk menyesat, melonggar, serta melunturkan keyakinan dan aqidah umat Islam?. Apakah kita juga turut sama merancang dan melaksana pelbagai aktiviti yang nyata bercanggah dengan kehendak syariat, walaupun dalam masa yang sama kita juga melaksanakan aktiviti yang memang selaras dengan tuntutan syariat Islam?.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kita dapati ramai di antara umat Islam yang terlibat dengan gejala sosial, penagihan dadah, dijangkiti HIV, sumbang mahram, rogol, bunuh anak, menggugurkan kandungan, buang anak, merompak, rasuah, menipu, menyeleweng dan lain-lain kemungkaran. Jika ini yang di lakukan, bagaimana Islam akan dapat diteladani oleh masyarakat bukan Islam?, bukankah ini yang di katakan Jahiliah moden?, kerana suasana seumpama inilah yang telah di tempuhi oleh Rasulullah s.a.w. di zaman awal kenabiannya."Kefasadan " yang berlaku ini bukan setakat memalukan, tetapi lebih buruk daripada itu ialah umat Islam akan hilang maruah dan jati diri serta tidak mampu berdikari. Jika perkara ini berterusan, sudah tentu umat Islam hilang daya tahan, daya saing serta akan terpinggir dan merempat di negara sendiri.
Menyedari hakikat ini adakah wajar umat Islam yang serba lemah di semua bidang masih mahu berterusan untuk berpecah belah, tuduh-menuduh, mencerca dan berburuk sangka sesama sendiri?. Di manakah hilangnya rasa ukhwah dan kasih sayang yang menjadi tunggak kepada amalan masyarakat Islam?. Bukankah setiap minggu mimbar mengingatkan kita, supaya bertakwa kepada Allah,yakni mengerjakan segala perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangannya. Bagaimana mungkin untuk kita menjadi manusia mulia, insan rabbani, berbudi pekerti terpuji, berhemah tinggi, jika dalam hati dan sanubari diri, masih tertanam kukuh berbagai sifat keji, yang di laknati dan tidak di redhai oleh Allah s.w.t.? Bagaimana mungkin kita mampu menjadi umat yang maju jika masih wujud pelbagai sifat malas, tiada yakin diri, kurang motivasi, mudah berpuashati serta selesa dengan apa yang ada?. Bagaimana mungkin kita akan maju di bidang ekonomi, jika tidak berani menghadapi risiko untuk rugi?. Atau bagaimana kita boleh maju di bidang sains dan teknologi, jika kita tidak melakukan penyelidikan dan kajian yang terkini?.
Sesungguhnya tugas umat Islam kini amat besar dan mencabar. Kita mesti menyediakan sebuah generasi yang kuat, bagi mewarisi tugas menyampaikan wahyu Ilahi. Mereka mesti mampu melaksanakannya walaupun akan menghadapi pelbagai ujian. Jika kita tidak melakukan tugas mulia ini, bersedialah kita untuk dipersoalkan nanti, kerana membiarkan generasi umat yang akan datang hidup dalam keadaan serba lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran. Tidakkah kita merasa berdosa kerana membiarkan mereka sebagai zuriat 'Zurriyatan Dhu'afa'(anak-anak yang daif), mengharungi masa depan tanpa bekalan dan kekuatan?. Demi rasa mahabah dan tanggungjawab yang tinggi ke arah memastikan umat Islam sentiasa mulia dan dihormati, kita mesti berupaya merancang masa depan dan memberi bimbingan ke arah menentu 'survival' umat. Sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang perlu di atasi. Ingatlah, jika kita tidak merancang untuk membangunkan umat Islam, maka orang kafir memang akan merancang, tetapi sudah pasti perancangan mereka bukan untuk memajukan kita, tetapi sebaliknya akan menjahanamkan kita.
Oleh yang demikian, wahai para pemimpin yang berjiwa besar, para cendikiawan yang bergelar pakar, para ulama' yang mu'tabar, ahli-ahli politik yang bestari, para pendakwah yang penyabar, para usahawan yang pintar, para perancang yang cekal dan semua pihak yang cerdik akal, ayuh kita bersatu tenaga, menentu hala, melakar rencana, menyedia Wahana, untuk membina kembali martabat umat dan bangsa, memacu negara ke mercu jaya, ke arah yang di redhai oleh Allah s.w.t.
Nah, di sinilah muhasabah menjadi penting dan amat bermakna untuk di lakukan oleh semua. Masih belum terlewat bagi umat Islam hari ini untuk melupakan segala perbezaan pendapat, perbezaan bangsa dan warna kulit, perbezaan fahaman politik dan apa jua sengketa yang telah melanda, sebaliknya marilah kita bergerak bersama menyusun langkah dan arah, bersatu tenaga dan minda bagi membina umat negara dan agama. Marilah kita bertekad untuk menobatkan negara di persada dunia dalam suasana yang di redhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya. Marilah kita menjadi umat yang disegani, dihormati, dicontohi serta diikuti.
Sesungguhnya umat Islam hari ini tidak mempunyai pilihan selain daripada bersatu tenaga, bersatu fikrah, bersatu tujuan, bersatu perasaan, bersatu harapan, bersatu wawasan dan bersatu keyakinan, iaitu demi kegemilangan masa hadapan yang hanya akan terjamin selamat, dengan amalan dan penghayatan syariat Islam sepenuhnya. Marilah kita sentiasa 'bermusyawarah' dan 'bermuhasabah' demi kemajuan umat. Marilah kita jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, supaya kita termasuk sebagai golongan orang-orang yang berjaya.
Firman Allah:
Bermaksud : " Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenal ( dan beramah mesra antara satu dengan yang lain ). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu ( bukan yang lebih keturunan atau bangsanya ). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujrat : 13)
No comments:
Post a Comment